Rabu, 14 September 2016

TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA

Tahap Pertama Industri Pelancongan Diperkenalkan

            Di Malaysia industri pelancongan telah mula muncul pada akhir tahun 1960. Pada ketika ini industri pelancongan belum lagi di anggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga ke tahun 1970, kerana pada masa itu Komoditi utama seperti Getah dan bijih timah adalah lebih penting. Kerajaan Malaysia mula membangunkan industri pelancongan ini sekitar tahun 1970 untuk memenuhi objektif peningkatan pendapatan dan pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan suatu kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan.

            Kementerian Kebudayaan, kesenian dan pelancongan telah di tubuhkan pada tahun 1987. Kementerian ini diwujudkan sebagai sebuah penggerak dan memainkan peranan penting dalam menyediakan insentif, meningkatkan mutu kemudahan asas, membuat promosi yang lebih menyeluruh dan menyediakan peruntukan untuk memajukan industri ini. Kementerian ini kemudiannya telah ditukar kepada Kementerian pelancongan malaysia sehingga hari ini.

Tahap Perkembangan Industri Pelancongan

Industri pelancongan ini telah mula berkembang di malaysia sekitar awal tahun 1990 di mana kerajaan mula mengambil pendekatan dengan mengishtiharkan tahun tersebut sebagai tahun melawat malaysia. Hal ini, menunjukkan kerajaan memandang serius terhadap industri pelancongan kerana ia berpotensi dalam meningkatkan pendapatan ekonomi negara. Sektor pelancongan juga menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Kedatangan pelancong sejumlah 16.4 juta pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM18.1 bilion kepada pendapatan Negara.

Tahap Industri Pelancongan Masa Kini

      Pembangunan industri pelancongan di Malaysia kini telah mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Industri pelancongan ini merupakan salah satu sektor yang terpenting dalam ekonomi negara sehingga kini. Sektor pelancongan ini merupakan sektor keenam terbesar negara iaitu sebanyak 14.9 % keluaran dalam negara kasar pada tahun 2014, selepas sektor perkhidmatan kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas dan tenaga, dan petroleum.

Pelbagai kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan prestasi industri pelancongan. Terdapat beberapa faedah yang dapat di perolehi daripada pembangunan industri pelancongan, antaranya ialah memberi sumbangan kepada imbangan pembayaran negara, pembangunan kawasan bukan perindustrian, Mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan kepada keseluruhan ekonomi menerusi impak pengganda dan pembangunan sosial.

            Industri Pelancongan merupakan salah satu industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan yang sangat besar dalam bentuk tukaran wang asing serta memasyurkan Malaysia di persada dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong yang berkunjung ke Malaysia sehingga memberikan pendapatan sebanyak 20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada tukaran asing. Jumlah ini melebihi anggaran jumlah yang dijangkakan sebanyak 6.4 juta pelancong yang diramalkan yang akan datang ke Malaysia.

            Selain itu, Malaysia juga telah di iktiraf sebagai negara ketiga yang menerima jumlah pelancong yang paling ramai di Asia timur selepas China dan Hong Kong. Malaysia merupakan sebuah negara pelancongan yang bercirikan pelancongan tropika yang sangat berpotensi di Asia yang turut menarik pelancong antarabangsa dan penduduk tempatan. Industri pelancongan di Malaysia merupakan satu peneraju baru ekonomi negara sekiranya sektor ini di tekankan untuk lebih dimajukan dan dibangunkan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan