Rabu, 14 September 2016

PENGENALAN

Definisi Industri Pelancongan

         Industri merupakan satu aktiviti ekonomi yang menghasilkan barang atau perkhidmatan. Sektor perindustrian di anggap sebagai penggerak utama pembangunan dalam sebuah negara. Pada zaman sebelum merdeka sehingga sekarang sektor perindustrian merupakan sektor terbesar yang menyumbang dan peneraju utama ekonomi negara. Pembangunan ekonomi di kebanyakan negara adalah berasaskan sektor perindustrian, hal ini merupakan penyumbang utama kepada kemajuan sesebuah negara.

      Pelancongan merupakan gerakan sementara manusia ke destinasi lain di luar tempat kerja dan tinggalnya yang biasa. Pelancongan juga merujuk kepada aktiviti melawat atau mengembara ke suatu tempat yang lain melebihi lima puluh batu dari tempat kediaman dengan tujuan rekriasi atau mengisi masa lapang. Asal usul perkataan "tourism" merupakan dari perkataan greek iaitu "tornos" yang membawa maksud pergerakan di dalam satu bulatan. Oxford English Dictionary pula telah mendifinisikan pelancongan sebagai satu aktiviti lawatan atau kunjungan pada masa kelapangan (honey,1999).

         Dari perspektif sejarah, pelancongan telah bermula sekitar 5000 tahun dahulu iaitu selaras dengan perkembangan industri pertanian intensif, kota , kapal laut dan wang sebagai medium pertukaran. Pejalanan ini lazimnya didorong oleh perdangan, ketenteraan dan pentadbiran kerajaan dari empayar besar seperti sumeria, yunani, mesir dan rom si rantau mideterranean dan timur tengah. Apabila empayar itu telah berkembang orang rom telah membina sistem jalan raya lebar dengan ini perhubungan pentadbiran dan perdagangan semakin luas. Di setiap 30 batu sepanjang jalan terdapat beberapa rumah tumpangan dan hotel telah di dirikan. Rumah tumpangan ini di kaitkan dengan status kemudahan dan perkhidmatan (Inskep, 1996). 

        Dalam konteks dunia hari ini, pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang semakin penting. Jumlah pelancong dalam negeri mahupun antarabangsa semakin meningkat malah beberapa buah negara di dunia kini memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan negara. Sektor pelancongan ini merupakan sektor yang melibatkan perkaitan antara kerajaan dan bukan kerajaan.

      

TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA

Tahap Pertama Industri Pelancongan Diperkenalkan

            Di Malaysia industri pelancongan telah mula muncul pada akhir tahun 1960. Pada ketika ini industri pelancongan belum lagi di anggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga ke tahun 1970, kerana pada masa itu Komoditi utama seperti Getah dan bijih timah adalah lebih penting. Kerajaan Malaysia mula membangunkan industri pelancongan ini sekitar tahun 1970 untuk memenuhi objektif peningkatan pendapatan dan pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan suatu kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan.

            Kementerian Kebudayaan, kesenian dan pelancongan telah di tubuhkan pada tahun 1987. Kementerian ini diwujudkan sebagai sebuah penggerak dan memainkan peranan penting dalam menyediakan insentif, meningkatkan mutu kemudahan asas, membuat promosi yang lebih menyeluruh dan menyediakan peruntukan untuk memajukan industri ini. Kementerian ini kemudiannya telah ditukar kepada Kementerian pelancongan malaysia sehingga hari ini.

Tahap Perkembangan Industri Pelancongan

Industri pelancongan ini telah mula berkembang di malaysia sekitar awal tahun 1990 di mana kerajaan mula mengambil pendekatan dengan mengishtiharkan tahun tersebut sebagai tahun melawat malaysia. Hal ini, menunjukkan kerajaan memandang serius terhadap industri pelancongan kerana ia berpotensi dalam meningkatkan pendapatan ekonomi negara. Sektor pelancongan juga menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Kedatangan pelancong sejumlah 16.4 juta pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM18.1 bilion kepada pendapatan Negara.

Tahap Industri Pelancongan Masa Kini

      Pembangunan industri pelancongan di Malaysia kini telah mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Industri pelancongan ini merupakan salah satu sektor yang terpenting dalam ekonomi negara sehingga kini. Sektor pelancongan ini merupakan sektor keenam terbesar negara iaitu sebanyak 14.9 % keluaran dalam negara kasar pada tahun 2014, selepas sektor perkhidmatan kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas dan tenaga, dan petroleum.

Pelbagai kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan prestasi industri pelancongan. Terdapat beberapa faedah yang dapat di perolehi daripada pembangunan industri pelancongan, antaranya ialah memberi sumbangan kepada imbangan pembayaran negara, pembangunan kawasan bukan perindustrian, Mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan kepada keseluruhan ekonomi menerusi impak pengganda dan pembangunan sosial.

            Industri Pelancongan merupakan salah satu industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan yang sangat besar dalam bentuk tukaran wang asing serta memasyurkan Malaysia di persada dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong yang berkunjung ke Malaysia sehingga memberikan pendapatan sebanyak 20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada tukaran asing. Jumlah ini melebihi anggaran jumlah yang dijangkakan sebanyak 6.4 juta pelancong yang diramalkan yang akan datang ke Malaysia.

            Selain itu, Malaysia juga telah di iktiraf sebagai negara ketiga yang menerima jumlah pelancong yang paling ramai di Asia timur selepas China dan Hong Kong. Malaysia merupakan sebuah negara pelancongan yang bercirikan pelancongan tropika yang sangat berpotensi di Asia yang turut menarik pelancong antarabangsa dan penduduk tempatan. Industri pelancongan di Malaysia merupakan satu peneraju baru ekonomi negara sekiranya sektor ini di tekankan untuk lebih dimajukan dan dibangunkan. 

KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN MALAYSIA TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA

         Industri pelancongan ini mempunyai kepentingan tersendiri dan telah menyumbang pelbagai aspek dalam negara terutamanya terhadap pembangunan ekonomi negara. Industri pelancongan di negara ini banyak membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara dengan berbagai langkah dalam memastikan negara Malaysia di kenali di seluruh dunia.

Pada tahun 2015, kementerian pelancongan telah mensasarkan kehadiran pelancong seramai 29.4 juta orang ke Malaysia sempena penganjuran MyFest2015. Pelaksanaan MyFest 2015 telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia di dalam ucapan Bajet 2015. Kempen ini disasarkan untuk terus meningkatkan industri pelancongan negara dan mengekalkan Malaysia sebagai destinasi utama pilihan pelancong. Sasaran ketibaan pelancong bagi MyFest 2015 ialah seramai 29.4 juta orang dengan sasaran pendapatan sebanyak RM89 bilion.

            Menurut kata Perdana menteri, Datu Seri Najib Razak, melalui berita harian online, yang di petik dari blog NajibRazak.com menyatakan bahawa Industri pelancongan telah memberi sumbangan yang ketara kepada ekonomi Negara sejak pengenalan Program Transformasi Negara (NTP), Menurut beliau, sektor pelancongan Negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi Negara dengan sumbangan berjumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 2014.

            Sejak pengenalan NTP, Industri pelancongan telah memainkan peranan dalam membuka peluang baharu untuk rakyat Malaysia menjalankan aktiviti pelancongan atas dasar pertolongan kementerian pelancongan dan kebudayaan mempromosikan kempen –kempen di luar negara. Kempen yang telah di lancarkan adalah satu lonjakan kepada Negara ini untuk memperkenalkan keunikan, keharmonian dan kepelbagaian kita sebagai negara contoh dan sebuah negara Islam yang progresif dan sederhana.
           
Dengan peningkatan dari tahun ke tahun pelancong ke Malaysia, ia dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara di mana pelancong dari luar negara akan menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia untuk berbelanja di Malaysia. Manakala mata wang asing tersebut akan Mewujudkan perdagangan antarabangsa Hal ini kerana perdagangan antarabangsa hanya berlaku sekiranya wujudnya permintaan dan penawaran dalam mata wang asing.

Para pelancong semestinya memerlukan keperluan asas seperti tempat penginapan, makanan dan minuman. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Seperti mana yang dilihat, di Malaysia telah banyak pusat penginapan yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam negara mahupun luar negara ia merupakan satu peluang kepada masyarakat tempatan menceburi bidang perniagaan.

 Pada tahun 2010, seramai 2,998 orang telah dilatih dan diberi lesen untuk mengendali penginapan homestay di seluruh negara. Selain itu, kerajaan telah mempromosikan pakej pelancongan komuniti orang asli telah membuka peluang pekerjaan kepada orang asli menjadi pemandu bot dan pemandu pelancong alam semulajadi (Laporan ekonomi 2010/2011) Hal ini secara tidak langsung mencapai sasaran kerajaan dalam Dasar Ekonomi Baru(DEB).

            Industri pelancongan turut menyumbang memajukan bidang perniagaan di malaysia. Para pelancong akan memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan dan pengankutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan lain-lain. Untuk memenuhi keperluan para pelancong masyarakat dalam negara ini telah membuka minda meraka dengan menjalankan perniagaan seperti membuka perhotelan, perkidmatan pelancongan dan membuka perniagaan makanan.

            Kemajuan bidang perniagaan menerusi industri pelancongan ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada peningkatan jumlah peluang pekerjaan kerana industri ini memerlukan ramai pekerja untuk memberikan keseimbganan terhadap jumlah pelancong yang datang. Antara pekerjaan yang turut meningkat ialah pekerja hotel, pemandu pelancong,kedai cenderamata dan kraftangan. Dengan berkembangnya industri pelancongan ini jumlah pengangguran semakin berkurang. Selain itu, dengan adanya peluang pekerjaan menerusi sektor pelancongan  ini  masalah sosial juga dapat di atasi.

            Seterusnya industri pelancongan juga turut menyumbang kepada Negara dengan memperkenalkan Malaysia melalui sejarah negara kepada pelancong luar. Hasil peninggalan sejarah seperti monumen A Farmosa dan Muzium Negara turut menggamit kenangan yang memberi seribu nostalgia dan memberikan inspirasi kepada pakar seni bina tentang seni bina yang terdahulu. Hal ini, turut memberikan ilmu pengetahuan terhadap pelancong asing dan tempatan tentang sejarah di Malaysia. Selain itu, lepelbagaian budaya dan etnik di negara ini turut memberi peluang kepada pelancong dari luar dan dalam negara mengenali budaya masyarakat dalam negara ini, sekali gus turut mewujudkan perpaduan antara kaum dan etnik  ketika melawat kaum lain. Hal ini juga memberikan inspirasi kepada pelancong yang datang dari negara yang tidak mempunyai kebebasan bersuara dalam negara mereka dengan melihat keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

            Selain Itu, Industri pelancongan juga turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan adanya sektor perhubungan dan pengangkutan. Negara kita mempunyai beberapa syarikat penerbangan yang turut mempromosikan pelancongan di negara ini. Syarikat penerbangan ini turut mengeratkan kesefahaman dan hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa. Dengan peningkatan jumlah pelancong ke negara ini, kesefahaman dan hubungan diplomatik dapat di eratkan antara negara serantau.

HALANGAN DAN CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA

Halangan Dan Cabaran Luar Di Malaysia

           Perkembangan Industri pelancongan dalam negara ini turut mempunyai halangan dan cabaran. Pelbagai cabaran dan halangan yang akan timbul dari semasa ke semasa dengan perkembangan industri ini. Antara cabaran yang di hadapi adalah persaingan sektor pelancongan antara negara lain. Keunikan negara ini yang mempunyai kepelbagainan kaum dan etnik dan mempunyai budaya tersendiri. Keunikan ini telah menyebabkan negara-negara lain ingin bersaing dan cuba mencari keunikan yang dimiliki oleh negara mereka sendiri untuk meningkatkan industri pelancogan di negara mereka. Malaysia juga turut mempunyai cabaran dari segi penghasilan barangan cenderahati yang mudah di tiru oleh negara luar kerana mempunyai masalah dari segi penjenamaan dan hak paten barangan.

            Cabaran lain dalam industri pelancongan di Malaysia ialah perbezaan budaya tempatan dan budaya pelancong. Kebudayaan merupakan imej kepada sebuah negara, hal ini sangat penting untuk menarik pelancong asing masuk ke Malaysia.  Kepelbagaian budaya dan tradisi di negara ini menjadi satu kekuatan kepada negara untuk menarik lebih ramai pelancong. Persembahan tradisional, makanan tradisioanal dan amalan sistem beraja yang di amalkan dari turun temurun menjadi lambang kemakmuran negara ini. Walau bagaimanapun, Sikap sesetengah masyarakat yang tidak lagi menonjolkan budaya tempatan dalam diri telah memberi kesan yang kurang baik kepada perkembangan industri pelancongan negara ini.

Kebanyakan remaja pada hari ini tidak lagi menitik beratkan budaya dan tradisi warisan kaum sendiri, mereka lebih cenderung menyanjung dan mengamalkan budaya barat. Perkara yang sangat ketara yang kian di lupakan oleh remaja hari ini ialah permainan dan persembahan tradisioanal yang merupakan lambang kepada satu kaum tertentu, hal ini akan mengurangkan pendedahan kepada pelancong terhadap keunikan Malaysia sekaligus akan memngurangkan minat pelancong ke negara ini kerana tidak memberikan pengalaman baru tentang kelebihan dan perbezaan negara mereka dengan Malaysia.

Halangan dan Cabaran Dalaman Pelancongan Di Malaysia

            Pencemaran alam sekitar juga turut menjadi cabaran kepada industri pelancongan kita pada hari ini. Hal ini berlaku adalah disebabkan sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab sehingga merosakkan kecantikan alam sekeliling. Jika keadaan ini berterusan tidak mustahil industri pelancongan di negara ini akan merosot pada masa akan datang kerana para pelancong tidak akan berkunjung ke tempat yang tercemar. Selain itu, pencemaran ini juga akan mendatangkan pelbagai penyakit kepada masyarakat dan juga pelancong asing. Sebagai contoh, pembalakan haram yang semakin berleluasa dek kerakusan manusia yang tidak mengendahkan kesan terhadap alam sekitar sehingga menjejaskan keindahan alam ini. Para pelancong yang datang akan berfikir untuk datang ke negara ini sekiranya pencemaran semakin meningkat, kerana pelancong yang datang bertujuan untuk melihat keindahan sesuatu kawasan itu. Bukan untuk melihat kerosakan dan pencemaran.

            Halangan dan cabaran industri pelancongan dalam negara ini juga adalah disebabkan oleh ketidakstabilan politik di Malaysia. Sistem politik yang tidak stabil akan menjejaskan imej negara kepada pelancong asing. Ketidakstabilan politik ini akan meyebabkan para pelancong tidak berani untuk datang atas faktor keselamatan. Sebagai contoh, pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sejak akhir-akhir ini menyababkan para pelancong berfikir bahawa negara ini tidak aman dan tidak selamat untuk di lawati. Kes penculikan pelancong asing di sempadan Filipina dan masalah kehilangan pesawat MH370 merupakan bukti yang kukuh yang menjelaskan Malaysia merupakan sebuah negara yang tidak selamat untuk dilawati. Hal ini turut menjadi impak negatif terhadap industri pelancongan di negara ini.

SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN TEMPATAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA




 Sistem Sokongan Oleh Pihak Kerajaan

        Teras keseluruhan dasar dalam sektor pelancongan ialah untuk mencapai pertumbuhan pelancongan yang mampan bagi merealisasikan potensi pekerjaan yang banyak dan kesan penjanaan pendapatan di tahap negara, negeri dan kawasan tempatan.Satu pendekatan holistik dan bersepadu yang memberi pengaruh keatas inovasi dan daya tenaga sektor swasta, layanan baik, sopan-santun dan kesedaran sivik orang awam dan juga sokongan dari Kerajaan adalah amat perlu untuk menaikkan industri pelancongan ke tahap pencapaian yang lebih tinggi.

      Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia telah menyediakan penyampaian perkhidmatan pelancongan dan menyediakan aktiviti program  kegiatan pelancongan yang berkualiti bagi menggalakkan penglibatan dan penghayatan masyarakat terhadap industri pelancongan. Antara program pelancongan yang telah di laksanakan oleh pihak kerajaan ialah program Sukarelawan Pelancongan, Program Malaysia Rumah Kedua Ku, Pelancongan Pelajar, Pelancongan Pendidikan,Agro Pelancongan Dan Pelancongan Sukan.

Oleh yang demikian, pelbagai prasarana pelancongan yang bermutu tinggi dan berdaya maju di seluruh negara telah dibina di samping menguatkuasa dan melaksanakan peruntukan-peruntukan dalam akta industri pelancongan, akta pelesenan kenderaan pelancongan termasuk peraturan-peraturan di bawahnya dilaksanakan sepenuhnya secara efisien dan efektif. Usaha ini selaras dengan matlamat untuk mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan yang unggul di peringkat domestik dan antarabangsa. Program utama yang dilaksanakan termasuk pengekalan dan pemuliharaan tempat bersejarah, peruntukan dan menaiktaraf infrastruktur berkaitan pelancongan dan juga peningkatan kualiti produk pelancongan dan perkhidmatan.

            Pihak kerajaan juga memberikan sumbangan dalam meningkatkan industri pelancongan melalui penubuhan Dasar Pelancongan Negara. Pihak kerajaan telah melancarkan kempen "Tahun Melawat Malaysia" yang bertujuan untuk menggalakan pelancong asing untuk datang ke Malaysia dengan memperkenalkan kebudayaan tradisi pelbagai etnik, kepelbagaian makanan, permainan warisan. Dengan usaha ini, Malaysia akan lebih dikenali di peringkat antarabangsa melalui keunikan yang tidak terdapat di negara lain disamping nilai ketimuran dan sopan santun yang diamalakan turut menarik pelancong asing ke Malaysia.

            Selain itu, Tourism Malaysia yang di perkenalkan oleh pihak kerajaan turut meningkatkan usaha mereka dengan mempromosikan dan memasarkan industri pelancongan sepenuhnaya melalui digital dan penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial yang inovatif untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang di sesuiakan mengikut keperluan pasaran pelancongan. Media sosial digunakan untuk menguasai pasaran pelancongan kerana sistem media merupakan talian yang sangat popular sebagai rujukan pelancong dalam membuat keputusan melancong.

            Antara sokongan lain kerajaan untuk mebangunkan industri pelancongan ialah dengan mewujudkan tabung pembagunan infrastruktur Pelancongan. Tabungan pembangunan infrastruktur merupakan satu skim kemudahan untuk pembiayaan pinjaman dana pelancongan yang berterusan dan bertujuan untuk membantu pengusaha yang ingin membangunkan dan mengembangkan produk pelancongan mereka. Insentif kerajaan dalam memajukan pelancongan di Malaysia ialah Skim Bantuan Kebudayaan, Bantuan Bimbingan Seni dan Sumbangan tabungan tajaan Seni. Insentif dan tabungan ini di perkenalkan oleh kerajaan adalah untuk membina dan membangunkan Industri pelancongan untuk meningkatkan ekonomi Negara ini.

            Pihak kerajaan juga telah memperkenalkan kursus-kursus pelancongan seperti “We Are The Hist (WATH)”, Kursus ini di perkenalkan adalah untuk melatih barisan hadapan dalam sektor pelancongan. Kursus “Eco-Host Malaysia” juga telah diwujudkan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai keperluan dan pemuliharaan alam sekitar. Selain itu, Program “Think Tourism” juga di perkenalkan adalah untuk memberikan ilmu pengetahuan dan pendedahan kepada frontliners’ bagi melengkapkan diri dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam industri pelancongan yang mementingkan kualiti tahap pekhidmatan palanggan.

            Selain itu, Satu sistem yang dikenali sebagai "Tagal" merupakan salah satu sistem yang digunakan untuk menyokong industri pelancongan di Malaysia. Tagal adalah satu kaedah pengurusan biosfera yang popular di sabah. Tagal juga lebih dikenali sebagai “bombon” yang bermaksud jangan dalam bahasa kasazandusun. Sitem tagal ini merupajan satu kaedah tradisional yang telah di ubah suai menjadi satu sistem pengurusan yang lebih tersusun di bawah pemantauan jabatan perikanan negeri. Malalui sistem ini, penggunaan sumber semulajadi akan dihadkan dengan mangwujudkan zon rizab dan limitasi penuaian sumber sungai.

            Pada masa yang sama juga, pihak kerajaan dan swasta sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada. Sehingga kini, terdapat pelbagai produk baru yang telah diperkenalkan dan diterokai dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong. Antara produk baru yang diperenalkan ialah pelancongan sukan melalui pelbagai acara yang di anjurkan yang bertaraf antarabangsa seperti “Tour De Langkawi”. Kerajaan juga menonjolkan industri pelancongan melalui khazanah alam semulajadi di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telah di iktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Oleh UNESCO.

Sistem Sokongan Oleh Pihak Swasta

Sektor swasta pula manawarkan insentif kemudahan penerbangan melaui syarikat Air Asia dimana syarikat ini telah menawarkan pakej tambang murah kepada pelancong tempatan dan pelacong asing yang menggunakan perkhidmatan   pengangkutan udara. Hal ini turut membantu kerajaan untuk mempromosikan negara dengan imej  menarik yang terdapat di Malaysia

Antara sumbangan lain Air Asia terhadap industri pelancongan ialah di Sabah dari segi jaringan perhubungan dan membawa jumlah pelancong tertinggi ke Sabah sepanjang tahun 2013. Syarikat penerbangan tersebut juga telah meningkatkan jaringan perhubungan ke Sabah dengan penerbangan antarabangsa dan domestik dengan 23 destinasi yang membolehkan para pelancong meneroka tempat-tempat menarik bertaraf dunia selain mencari peluang perniagaan bagi negeri Sabah. (astro awani, 23 nov 2015).

Selain itu, penubuhan agensi-agensi pelancongan di setiap negeri juga merupakn salah satu sokongan pihak swasta dalam meningkatkan tahap pembangunan pelancongan di Negara ini. Agensi pelancongan di setiap negeri di Malaysia pastinya akan menawarkan perkhimatan pelancongan dengan mempromosikan tempat-tempat menarik yang harus di kunjungi oleh para pelancong dari luar mahupun dalam Negara. Agensi pelancongan ini, sekaligus akan memperkenalkan tempat-tempat menarik dan keistimewaan dan keunikan yang terdapat dalam negeri masing-masing. Sebagai contoh. Agensi pelancongan “Amazing Borneo Tours & Evens Sdn.Bhd” di sabah. Agensi ini berfungsi dalam pengendalian aktiviti Pelancongan di sabah dan Sarawak. Agensi ini akan memperkenalkan pelancong tetang keunikan yang terdapat di Borneo. Agensi ini juga menawarkan perkhimatan pakej pelancongan terbaik dan memusakan kepada para pelancong.

        Sokongan pihak swasta dalam Industri pelancongan juga adalah melalui penubuhan Persatuan Tour & Travel Agents (MATTA) yang telah ditubuhkan pada tahun 1974. MATTA telah berkembang daripada sebuah persatuan ejen pelancongan dengan kira-kira 30 ahli untuk satu dengan lebih daripada 2,007 ahli yang terdiri daripada semua ejen pelancongan dan pengusaha pelancongan Negara. Persatuan ini turut di ikuti oleh pelbagai gabungan agensi pelancongan luar negara. Ia juga merupakan badan perwakilan kebangsaan bagi industri pelancongan keseluruhan di negara ini. Matta mempuyai cawangan di seluruh Negara. Dengan ini, Industri pelancongan pastinya akan lebih berkembang dan meningkatkan ekonomi Negara kerana ianya turut di perkenalkan ke luar Negara melalui ahlinya yang terdiri dari Negara-negara asing.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA

Industri pelancongan merupakan salah satu sektor yang di dapati semakin berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan terpenting bagi  Negara ini. Hal ini menyebabkan banyak tempat- tempat pelancongan yang di buka dan di majukan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang semakin pesat. Namun, masih ada ruang dan peluang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan faedah diperoleh daripada perkembangan sektor ini. Untuk memestikan sektor ini terus maju, pelbagai langkah yang perlu di ambil agar industri pelancongan dapat dimajukan.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk memajukan industri pelancongan di Negara ini ialah mengadakan kempen-kempen dan promosi pelancongan. Kementerian Pelancongan hendaklah mengadakan kempen ini di dalam atau di luar negeri. Pusat-pusat penerangan pelancongan serta rombongan-rombongan kebudayaan dan kesenian ke luar negara harus di jalankan dengan lebih kerap. Ini bertujuan mendedahkan keindahan alam semula jadi dan keunikan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini kepada masyarakat luar. Manakala pelancong dalam negara pula boleh ditarik dengan mengadakan kempen-kempen pelancongan menerusi media ataupun risalah. Program seumpama Cuti-cuti Malaysia oleh TV3 perlu diteruskan agar masyarakat mengetahui keindahan negara kita. Ini sekali gus akan mendorong mereka untuk melancong dan melawati tempat yang tidak pernah di kunjungi

Kempen Tahun melawat Malaysia yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan juga merupakan salah satu langkah yang terbaik untuk memajukan industri pelancongan di Negara ini. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini mennyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif. Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini.

Langkah seterusnya adalah dengan meningkatkan taraf keselamatan pelancong.  Hal ini perlu di titik beratkan untuk menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat kita yang kadang lupa diri dan suka mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani. Ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan memelihara imej negara.

Langkah lain yang boleh dilakukan untuk menarik kedatangan pelancong adalah dengan meningatkan dan menambah prasarana pelancongan yang selesa, jimat, mencukupi dan mudah. Penyediaan hotel, chalet, tandas, pengangkutan awam, bekalan air dan elektrik adalah penting untuk pembangunan industri pelancongan. Kerap berlaku pelancong terkandas atau terlewat sampai ke destinasi akibat masalah pengangkutan, misalnya untuk ke Taman Negara dan lain-lain destinasi di pedalaman. Kerap berlaku juga masalah tandas yang terhad dan berbau busuk, selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini.

Memperkenalkan produk pelancongan baharu juga merupakan salah satu langkah yang boleh dilaksanakan untuk menarik minat pelancong dari pelbagai negara. Pelbagai produk pelancongan yanng boleh diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan hendaklah menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Kerajaan turut memperkenalkan produk Inap Desa iaitu menyediakan "Homestay". Program Inap Desa ini telah menarik minat pelancong untuk berkunjung ke negara ini. Kerajaan telah menggalakan masyarakat untuk menjalankan program ini untuk meningkatkan lagi ekonomi negara melalui industri pelancongan. Selain itu, Buah-buahan tempatan yang bermusim turut menarik minat pelancong ke negara ini dengan merasai suasana dan keenakan buah-buahan tmepatan yang hanya terdapat di negara ini. 

   Selain itu, konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati para pelancong. Biasanya pelancong luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempatan. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor Pelancongan di negara ini.

KESIMPULAN

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita perlulah mengambil tahu terhadap tahap pertumbuhan industri pelancongan dengan memperlihatkan rasa cinta akan Negara dengan mengambil bahagian dalam setiap program yang telah dilancarkan oleh kerajaan. Sebagai contoh ialah melawat tempat-tempat pelancongan di dalam Negara sebelum bercadang untuk melancong ke luar Negara.

Seperti yang kita ketahui, Malaysia merupakan sebuah Negara yang mempunyai keindahan alam semulajadi dan keunikan dengan pelbagai etnik dan budaya yang tidak terdapat di tempat lain. Hal ini akan meningkatkan rasa bangga kita terhadap keindahan alam semulajadi selain dapat mempelajari budaya lain dalam Negara sendiri yang tidak pernah kita pelajari. Pada hari ini, dapat di lihat masyarakat di Negara ini lebih gemar melancong ke Negara asing berbanding Negara sendiri dan mereka lebih merasa bangga dapat melancong ke Negara lain. Hal ini secara tidak langsung akan mengurangkan rasa cintakan Negara dan ini turut memberikan impak terhadap industri pelancongan di Malaysia.

Bagi memastikan usaha menggalakkan sektor pelancongan terus dilaksanakan, kerajaan hendaklah mempergiatkan lagi promosi untuk merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Hal ini menjadi kesinambungan kepada usaha-usaha yang dilaksanakan pada awalnya. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, program-program kebudayaan dan kesenian serta karnival jualan besar-besaran boleh dilaksanakan dengan komitmen yang padu bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Pihak kerajaan hendaklah mempergiat lagi usaha agar setiap yang telah direncanakan akan berjalan dengan lancar dan berterusan.

           Selain itu, sebagai pelajar kita juga mempunyai tangungjawab untuk mempertingkatkan lagi tahap pertumbuhan industri pelancongan di Negara ini. Sebagai pelajar kita seharusnya mempelajari dengan lebih terperinci tentang tahap perkembangan industri pelancongan di Negara ini. Perkara ini, secara tidak langsung akan memupuk perasaan cintakan Negara setelah mengetahui kelebihan dan keindahan alam semulajadi di Negara ini. Dengan mempelajari ilmu tentang industri pelancongan ini juga, sekaligus akan membuka minda kita sebagai pelajar untuk mengambil bahagian dalam industri ini setelah tamat pengajian kelak. Ini kerana, terdapat banyak lagi peluang yang yang dapat di peroleh melalui industri pelancongan di Negara ini.

LINK KAWASAN PELANCONGAN MENARIK DI MALAYSIA









LINK VIDEO KAWASAN PELANCONGAN DI MALAYSIA